Thursday, 2 June 2016

Halaman Utama




Biodata Tokoh-tokoh

Biodata Hamzah Fansuri

Syeikh Hamzah Fansuri dilahirkan di Barus pada pertengahan abad ke -16 hingga awal abad le-17. Fansuri merupakan nama yang diberikan pelaut dan pedagang asing yang berdagang di bandar ini untuk berniaga sejak dahulu lagi ( Liaw Yock Fang 2011 : 371). Tahun lahir tidak dapat ditentukan namun ada yang berpendapat bahawa beliau lahir di Barus atau Fansur pada penghujung abad ke-16 dalam wilayah kekuasaan Acheh (Sri Lanang Jaya 2016 : 48). Fansur berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam dan pelabuhan. Ayahnya bernama Syeikh Ismail Acheh pernah menjadi gabenor di Kota Sri Banoi. Ibu bapa Hamzah Fansuri telah lama meninggal semasa Hamzah masih kecil. Ini menyebabkan beliau telah mengambil keputusan untuk berdagang dan mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain. Beliau telah mengembara ke seluruh pelosok dunia seperti Jawa, tanah Melayu, India dan Parsi. Sekembali dari pengembaraan beliau telah menjadi guru agama semasa pemerintahan Alauddin Riayat. Beliau juga menjadi penasihat kepada sultan. Beliau banyak menguasai jenis ilmu seperti fikah, tasawuf, ilmu kalam dan lain-lain lagi. Beliau juga menguasai ilmu dalam bidang bahasa seperti bahasa Arab dan sangat fasih untuk bertutur dengan bahasa Arab. Beliau juga terkenal sebagai seorang ahli sufi yang zuhud. (192 Patah Perkataan)

Sumbangan Tokoh

Sumbangan beliau boleh dilihat dalam pelbagai bentuk. Jika kita melihat dari segi ilmu beliau banyak menyumbang karya-karya ilmu seperti ilmu agama, tasawuf dan sastera. Dalam bidang sastera beliau mempelopori bidang penulisan puisi dan beliau merupakan pengasas kepada pola rima akhiri iaitu a-a-a-a. Puisi tulisan Melayu klasik yang merupakan sesuatu yang nyata boleh dikaji serta mempunyai bentuknya yang unik betul-betul bermula dari zaman Hamzah (Yevgenia Kukushkina 2003 : 2). Ini jelas menunjukkan bahawa beliau merupakan pelopor kepada penulisan di tanah Melayu pada ketika itu. Perkara ini dapat dilihat pada penulisan syair Hamzah Fansuri yang menggunakan bahasa Melayu dan mempunyai empat baris. Selain itu sajak yang dihasilkan mempunyai beberapa ciri seperti meletakkan nama pengarang, menggunakan petikan Al-Quran, hadis dan kata-kata Arab. Hal ini membuktikan bahawa berlaku proses penyerapan dan penyesuaian bahasa Arab dalam bahasa Melayu. Selain itu dalam puisi yang dihasilkannya juga mempunyai ciri atau simbolik yang sering digunakan oleh penyair Arab ketika mereka menghasilkan sesebuah karya. Beliau merupakan pelopor kepada penulisan kitab yang menggunakan bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana beliau berjaya menghasilkan sebuah kitab yang menggunakan bahasa Melayu dan berjaya mengangkat bahasa Melayu menjadi sebuah bahasa yang intelektual dalam bidang penyebaran ilmu di Nusantara pada masa itu. Disebabkan kebolehan bahasa Melayu pada ketika itu bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan turut digunakan sebagai bahasa pentadbiran pada ketika itu. Beliau juga terlibat dalam sastera keagamaan. Sastera keagamaan boleh dibahagikan kepada tiga cabang iaitu ilmu kalam, ilmu fikh dan ilmu tasawuf (Sri Lanang Jaya 2016 : 50). Sebagai contoh dalam penulisan Rahsia Makrifat beliau telah menyampaikan segala maklumat dan analisis dengan menggunakan bahasa dan pengetahuan yang cukup luas yang merangkumi bidang metafizik, teologi, epistemelogi dan estetika. Hamzah Fansuri juga terlibat dalam bidang kebahasaan. Dalam konteks ini kita perlu melihat dari sudut puisi yang dihasilkan. Puisi yang dihasilkan sangat besar jasanya dalam proses Islamisasi bahasa Melayu. Islamisasi bahasa ialah proses di mana penghasilan karya yang bercorak islam dan mempunyai istilah arab namun dengan menggunakan bahasa Melayu. Ini jelas membuktikan bahawa penerimaan bahasa Melayu dalam konteks ini bukan sahaja dalam bidang yang berkaitan dengan ilmu lain malah boleh juga diterima dalam bidang berkaitan dengan agama.

Biodata Abdullah Munsyi

Abdullah Munsyi dilahirkan pada tahun 1796 bersamaan tahun 1211 hijrah di Kampung Masjid atau dikenali dengan nama Kampung Masjid Pali. Beliau merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik. Ketiga-tiga abangnya telah meninggal dunia dan beliau berasal dari keturunan India dan Arab. Ayah beliau bernama Abdul Kadir bin Muhammad Ibrahim dan beliau merupakan anak tunggal. Abdul Kadir pernah memegang jawatan yang tinggi seperti Syahbandar serta utusan Inggeris kepada negeri–negeri Melayu seperti Lingga, Riau, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Palembang. Abdul Kadir juga pernah menjadi jurubahasa dan juru tulis. Semasa bapanya berniaga beliau tinggal dengan neneknya yang merupakan seorang guru. Walaupun beliau dimanjakan oleh neneknya namun dia tetap dibesarkan dalam situasi yang mementingkan ilmu. Hal ini terbukti apabila ketika berusia tujuh tahun beliau sudah pandai membaca dan mengaji. Sewaktu kedatangan Stamford Raffles beliau telah berkhidmat sebagai kerani, penterjemah, dan juru tulis kepada pihak Inggeris. Pekerjaan ini dilakukan bersama dua orang bapa saudaranya iaitu Ismail Lebai dan Muhammmad Latif. Sikap Abdullah yang rajin telah menyebabkan orang Inggeris segan dan hormat kepada beliau. Abdullah bergaul rapat dengan orang asing termasuk paderi sehingga mendapat gelaran Abdullah paderi (Siti Hawa Hj. Salleh 1997:160). Abdullah juga pernah menjadi guru bahasa kepada askar Hindustan dan kepada beberapa orang paderi. Abdullah telah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita berperanakan India ketika berusia 34 tahun. Beliau telah dikurniakan seorang anak perempuan. Abdullah telah meninggalkan keluarganya di Melaka untuk meneruskan pekerjaannya di Singapura. Selepas kematian anak perempuan dan isterinya beliau telah membawa anak lelakinya ke Singapura dan meninggal dunia pada tahun 1854 di Jeddah sewaktu ingin menunaikan haji.

 Sumbangan Tokoh 

Abdullah mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang penulisan. Beliau pernah bekerja sebagai guru bahasa, wartawan, sejarawan dan sebagainya. Pengkaji menyatakan bahawa sastera Melayu baru berlaku pada tahun 1800 iaitu pada abad ke-19 apabila munculnya karya yang telah dihasilkan oleh Abdullah Munsyi. Kejayaan beliau dalam bidang penulisan banyak didorong oleh faktor persekitaran seperti kehidupan keluarga, keadaan sosiopolitik selain bakat semula jadi yang dimilikinya. Beliau mempunyai seorang ayah dan seorang nenek yang sangat mengutamakan pendidikan yang pada ketika itu tidak dianggap penting oleh masyarakat. Apabila Abdullah berusia tiga belas tahun beliau sudah menghafaz al-Quran ( Zahari A. Rashid 2008 : 16). Ini membuktikan bahawa penekanan yang diberikan oleh bapanya terhadap ilmu amat tegas dan mendalam. Beliau telah menghasilkan banyak karya yang bermutu seperti Syair Singapura terbakar, Dawaiy-Kulub, Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan dan lain-lain lagi. Karya yang dihasilkan membawa banyak unsur pembaharuan dalam lapangan sastera Melayu. Abdullah dianggap sebagai sasterawan moden iaitu pengkritik sosial yang mendahului zamannya (Zahir Ahmad et al. 2007 : 231). Hal ini demikian kerana beliau berani untuk mengkritik sistem pemerintahan pada masa tersebut. Kesimpulannya perubahan yang di bawa oleh Abdullah merupakan satu titik tolak kepada teknik penulisan dan cara penyampaian yang dapat menarik perhatian pembaca seiring dengan perubahan masa dan keadaan. (203 Patah perkataan)

Biodata Tun Sri Lanang

Tun Sri Lanang atau nama sebenarnya iaitu Tun Muhammad bin Tun Ahmad merupakan anak kepada Raja Tun Ahmad Temenggong Johor.  Beliau telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Batu Sawar, Johor pada tahun 1565 dan merupakan keturunan bendahara-bendahara Melaka dan Johor yang hidup pada akhir abad ke-16 hingga awal abad ke-17.  Sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570-1597 T.M), beliau telah diangkat oleh sultan untuk menjadi bendahara Kerajaan Johor.  Ismail Hamid (1988 : 260-261) mengatakan bahawa pada tahun 1612 masihi, Tun Sri Lanang yang bergelar Bendahara Paduka Raja telah diminta oleh Raja Abdullah untuk mengarang ‘Sejarah Melayu’.
Setelah Johor kalah dalam peperangan dengan Aceh yang pada masa itu diperintah oleh Sultan Iskandar Muda Aceh, Tun Sri Lanang kemudiannya dibawa ke Aceh pada tahun 1613 dan menetap di negeri Samalanga.  Pada ketika itu, ramai golongan bangsawan dan rakyat Johor yang mengikuti beliau ke Aceh iaitu lebih kurang seramai ribuan orang.  Sewaktu di Aceh, Sultan Iskandar Muda telah melantik beliau sebagai penasihat utama baginda dan beliau telah diberi gelaran ‘Orang Kaya Datuk Bendahara Seri Paduka Tun Seberang’.  Dengan itu, beliau telah mendirikan pusat penyebaran agama Islam dan pendidikan di negeri-negeri pesisir timur Aceh.  Kemudiannya, beliau telah ditabalkan menjadi raja di negeri Samalanga pada tahun 1615.  Namun, beliau telah mangkat pada tahun 1659 di Lancok dan telah dimakamkan di sana. 
Antara sumbangan besar yang dilakukan oleh Tun Sri Lanang dalam perkembangan kesusasteraan Melayu Tradisional ialah mengarang dan menyusun Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu pada tahun 1612, iaitu atas perintah Raja Abdullah Maayah Shah.  Beliau merakamkan kebesaran, ketinggian dan kegemilangan sesebuah negara dan raja-raja Melayu sejak zaman Raja Iskandar pada abad ke-15 sehinggalah ke era pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah pada abad ke-17.  Selain itu, Sejarah Melayu juga mempunyai bahagian yang bersifat mitos, bahagian isi-isi yang menceritakan asal usul raja, nama tempat dan istiadat-istiadat yang disaluti dengan imaginasi.  Di samping itu, karya agung ini juga mengandungi gambaran kehidupan dan budaya kerajaan Melaka dan budaya feudal. 
Oleh yang demikian, kebijaksanaan Tun Sri Lanang sebagai pengarang Sejarah Melayu amat diperakui oleh penulis buku yang lain.  Segala unsur transformasi , modifikasi, demitefikasi, parallel, ekserp, eksistensi, haplologi, ekspensi dan sebagainya dilakukannya dalam rangka untuk memperkaya teksnya.  Beberapa  buah teks sebagai hipogram dan rujukan telah digunakan untuk menjadikan Sejarah Melayu sebagai sebuah teks yang besar.  Menurut Harold Bloom pula, Tun Seri Lanang telah menggabungkan beberapa teks untuk melahirkan teks Sejarah Melayu. Oleh yang demikian, teks Sejarah Melayu telah dihasilkan dengan begitu menarik dan berperanan mengembangkan bahasa serta menyerlahkan lagi tentang peradaban Melayu lama atau feudal.

Rujukan

Liaw Yock Fang. (2011). Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik. Indonesia. Penerbit: Yayasan      Pustaka Obor Indonesia.

Seri Lanang Jaya, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris. (2016). Karya Agung          Melayu. Tanjong Malim. Penerbit: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Siti Hawa Hj. Salleh. (1997). Kesusasteraan Melayu Abad Kesembilan Belas. Kuala Lumpur.        Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Yevgenia Kukushkina. (2003). Satukan Hangat Dan Dingin Kehidupan Hamzah Fansuri Pemikir Dan Penyair Sufi Melayu. Kuala Lumpur. Penerbit:Dewan Bahasa Dan Pustaka          Zahari

A. Rashid. (2008). Kenangan-kenangan Abdullah Munsyi. Petaling Jaya. Penerbit: IBS Buku        Sdn. Bhd.

Zahir Ahmad, mohd Taufik Arridzo Mohd Balwi, Madiawati Mustaffa. (2007). Wacana   Persuratan Melayu. Kuala Lumpur. Penerbit:Akademik Pengajian Melayu Universiti    Malaya.

Video Pembentangan

Video Hikayat Abdullah

Video Laskar Pelangi