1.0 Pendahuluan
Menurut
Hassan Ahmad (2000), karya agung merupakan karya yang berjaya meninggalkan
kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam ingatan
sesebuah bangsa. Hal ini demikian kerana hasil ciptaan klasik ini mengandungi
pemikiran dan mesej yang kreatif untuk disampaikan kepada pembaca melalui
penggunaan bahasa yang indah.
Karya moden merupakan sebuah karya
yang banyak dihasilkan oleh penulis sewaktu zaman peralihan berlaku. Selain itu
antara ciri yang boleh didapati berdasarkan karya moden ialah mempunyai nama
pengarang, milik individu dan lain-lain lagi. Kesemua ciri ini berbeza dengan
ciri tradisional yang lebih mengutamakan konsep seni itu daripada konsep
lain-lain. Selain itu pembaca juga dapat membezakan karya moden dan tradisional
dengan mudah disebabkan beberapa faktor seperti gaya bahasa dan jalan
penceritaan yang cuba diterapkan oleh pengarang.
Hikayat yang dikaji ialah hikayat Abdullah. Hikayat
ini merupakan sebuah karya agung yang tidak menyelitkan unsur-unsur mitos atau
legenda iaitu berkaitan dengan kisah pengembaraan Abdullah Munsyi. Dalam
Hikayat Abdullah, Abdullah Munsyi telah mengisahkan segala peristiwa yang
berlaku pada zaman Kesultanan Melayu Melaka berdasarkan pemerhatian dan
pengalaman beliau. Selain daripada kisah pengembaraan Abdullah Munsyi di
Melaka, beliau juga telah berperanan sebagai pengkritik sosial dengan memberi
kritikan terhadap masyarakat Melayu dari segi adat dan kepercayaan, pemikiran,
sistem pemerintahan dan sebagainya. Dengan itu, penulisan ilmiah ini telah
membincangkan Hikayat Abdullah ini dari lima aspek iaitu aspek pemikiran, aspek
nilai budaya dan pandangan hidup, aspek seni kepengarangan, aspek nilai ilmu
dan aspek falsafah.
2.0 Latar
Belakang Tokoh
Abdullah
dilahirkan pada tahun 1976 di Kampung Masjid. Kampung Masjid juga dikenali
sebagai kampung Masjid pali. Beliau mempunyai empat orang adik-beradik dan
mempunyai tiga orang abang. Beliau merupakan anak bongsu. Ayah beliau bernama
Abdul Kadir Bin Muhammad Ibrahim dan beliau merupakan anak tunggal.
Bapa Abdullah merupakan orang yang
mementingkan ilmu. Disebabkan sifat dan pendirian tersebut semasa bapanya
keluar berniaga Abdullah telah dijaga oleh neneknya yang juga seorang guru.
Walaupun beliau dimanjakan oleh neneknya namun dia tetap dibersarkan dalam
situasi yang mementingkan ilmu. Hal ini terbukti apabila semasa berusia tujuh
tahun beliau sudah mampu untuk membaca dan mengaji al-Quran.
Abdullah telah mendirikan rumah
tangga dengan seorang wanita berketurunan India ketika berusia 34 tahun. Beliau
dikurniakan seorang anak perempuan. Abdullah kemudian telah berhijrah ke
Singapura untuk bekerja dan meninggalkan isteri serta anaknya di Melaka.
Setelah kematian isteri dan anak perempuannya beliau telah membawa anak
lelakinya berpindah ke Singapura.
3.0 Analisis
Kajian Berkaitan Dengan Pemikiran
Setiap
karya agung yang dihasilkan mempunyai seni dan estetika yang tersendiri.
Pemikiran pengkarya akan mencorakkan sesebuah karya dan menghasilkan sebuah
karya yang menarik dan indah. Pemikiran merupakan subjek yang dibawa oleh
pengarang (Sri Lanang et al. 2016 : 69). Dunia sastera Melayu sering
menghubungkan pemikiran dengan alam semesta. Hal ini demikian kerana proses
penciptaan hasil seni mempunyai perkaitan dengan konsep kepercayaan dan konsep
ini berhubung terus dengan kekuasaan Allah dalam proses penciptaan. Sebagai
contoh jika kita melihat sesebuah karya pastinya akan ada menyebut perkara
berkaitan dengan alam nyata dan alam ghaib. Namun dengan kreativiti yang ada
pada pengarang unsur-unsur ghaib ini telah dikarang dan diadun agar menjadi
satu unsur yang mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Selain itu dalam dunia sastera
Melayu juga telah menjadi kebiasaan pengarang untuk menyentuh konsep pemikiran.
Konsep pemikiran ini amat luas dan tidak terbatas. Konsep pemikiran ini
mencakupi aspek kemanusiaan dan kebudayaan (Jelani Harun 2004 : 17). Sebagai
contohnya aspek kemanusiaan akan
meliputi aspek berkaitan dengan kehidupan dan jika melihat kepada kebudayaan
pastinya akan melihat kepada keindahan masyarakat Melayu pada suatu masa
dahulu.
3.1 Pandangan
Abdullah Berkaitan dengan Konsep Kepercayaan Orang Melayu
Orang Melayu pada suatu masa dahulu
sering mengamalkan perkara khurafat. Mungkin perkara ini dilakukan kerana
kepercayaan anamisme yang menebal dalam jiwa orang Melayu sebelum kedatangan
Islam di alam Melayu. Kepercayaan ini amat kuat ditentang oleh Abdullah kerana
beliau merasakan perkara seperti itu tidak patut berlaku dalam sebuah
masyarakat yang mempunyai agama dan pegangan yang tersendiri. Selain itu jika
kita meneliti dengan lebih lanjut hikayat Abdullah ini kita akan mendapati bahawa beliau tidak
menerapkan unsur hindu dalam penulisan beliau. Munsyi Abdullah tidak perlu
memuatkan keterangan tentang sesuatu kepercayaan yang berasal daripada
kepercayaan Hindu dalam tulisannya kecuali apabila mengkritik masyarakat Melayu
yang mempercayai sesuatu kepercayaan karut (Siti Hawa haji Salleh 2009: 75).
Jelas di sini bahawa unsur ini memang telah ditentang oleh Abdullah dan
menyebabkan semua unsur atau kepercayaan masyarakat Melayu yang bertentangan
dengan Islam ditentang oleh beliau. Kita dapat melihat penolakan Abdullah dalam
kepercayaan yang karut ini seperti dalam petikan berikut:
Bahawa ini pun
satu adat nenek moyang bodoh yang tiada ia mengetahui Allah Ta’ala adakah sebab
dijualkan itu menjadi panjang umurnya dan jikalau dipelihara oleh ibu bapanya
menjadi pendek umur atau mati? Maka sekali-kali jangan kita percaya yang demikian.
(Hikayat
Abdullah, 2007: 15)
Jelas petikan di atas menunjukkan bahawa beliau
menolak kelakuan yang sering diamalkan oleh nenek moyang kita pada suatu masa
terdahulu. Beliau menyatakan bahawa semua kekuasaan itu berpunca dari Allah dan
hanya kepada-Nya sahaja kita patut meminta pertolongan dan bukan dengan cara
yang sedemikian.
3.2 Pandangan
dan Pemikiran terhadap Konsep Menuntut Ilmu
Abdullah
juga merupakan seorang yang amat gigih dalam menuntut ilmu. Disebabkan bapanya
Abdul Kadir yang amat mementingkan ilmu maka dididik Abdullah dengan amat tegas
sehingga bapanya tidak pernah untuk memuji anaknya sendiri walaupun hasil
tulisan anaknya itu mendapat pujian ramai. Beliau menyatakan bahawa pujian akan
membunuh anaknya.
Disebabkan hasil didikan bapanya
yang tegas Abdullah akhirnya mampu untuk mempelajari pelbagai bahasa dan
pelbagai ilmu yang dimilikinya. Abdullah juga akhirnya menyedari pelbagai
kelebihan dan manfaat ilmu tersebut jika dimiliki. Contohnya seperti berikut:
“Adapun ilmu dan
kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan dan kekayaan itu membawa
kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang di janjikan allah dalam
dunia itu masing-masing adalah dengan harganya iaitu dapat dinilaikan oleh
manusia melainkan ilmu itu sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan
harganya.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 19)
Abdullah juga tidak pernah jemu
untuk menuntut bukan sahaja ilmu bahasa Melayu dan berkaitan dengan ilmu islam
malah beliau juga turut mempelajari bahasa Hindu dan bahasa Hindustan. Beliau
mempelajari bahasa Hindu kerana pada ketika itu di Melaka terdapat ramai
sudagar dan orang kaya yang menguasai bahasa tersebut dan telah menjadi
kemestian bagi orang Melaka pada ketika itu untuk mempelajari bahasa Hindu.
Selain bahasa Hindu beliau turut mempelajari bahasa Hindustan dan di sini jelas
menunjukkan bahawa beliau merupakan seorang pencinta ilmu.
3.3 Kebencian
Abdullah terhadap Amalan Jual Beli Hamba
Selain itu, Abdullah juga berasa benci dengan aktiviti
jual beli hamba sehingga menyamakan aktiviti ini dengan aktiviti menjual kambing.
Contoh peristiwa adalah seperti yang berikut:
“Itu pun
terlalu banyak datang, iaitu orang-orang dari dari hulu Siak dan Minangkabau
dan Pekan Baru. Maka semuanya datang tumpah-ruah ke Singapura, seperti orang
menjual kambing, dihalaunya sepanjang-panjang jalan, disesahnya dengan rotan.
Maka demikianlah halnya pada masa itu, hamba hamba dijual orang, seperti orang
menjual binatang, baik di Melaka, baik di Singapura.
(Hikayat Abdullah, 2007: 192)
3.4 Ketidakadilan
Hukuman
Dalam Hikayat Abdullah, beliau juga
menceritakan adat hukuman Melayu yang tidak adil jika dibandingkan dengan adat
hukuman orang putih. Jika mengikut adat hukuman orang Melayu, rakyat yang
menderhaka raja iaitu Sayid Yasin perlu dibunuh habis-habis bersama dengan ahli
keluarganya. Contoh peristiwa adalah seperti yang berikut:
“Tuan, kalau
adat Melayu, orang itu dibunuh habis-habis dengan anak bininya dan kaum
keluarganya. Maka tiang rumahnya dibalikkan ke atas dan bumbung rumahnya ke
bawah dan tanah bekas rumahnya itu pun dibuangkan ke laut, adanya.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 180)
3.5 Kebodohan
dan Kekurangan Fikiran Sultan
Di samping itu, Abdullah juga mengkritik
pemikiran Sultan dan Temenggung yang cetek dan tidak berpandangan jauh. Hal ini
demikian kerana Sultan dan Temenggung tidak bersetuju dengan cadangan Tuan
Raffles yang ingin menghantar anak-anak mereka ke Benggala untuk menerima
pendidikan. Contoh peristiwa adalah seperti yang berikut:
“ Bahawa sesungguhnya adalah pada
fikiranku maka nyatalah kebodohan dan kekurangannya fikiran Sultan itu, maka
alangkah baik dan besar tolongan Tuan Raffles itu hendak mengajarkan anak-anak
mereka itu supaya kemudian kelak ia boleh mengerti dan mendapat beberapa
kepandaian dan hikmah akan menambahkan akal dan pengetahuan.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 187)
4.0 Analisis Kajian
Berkaitan Dengan Nilai Budaya dan Pandangan Hidup
4.1 Nilai Budaya
Budaya
merupakan sesuatu perkara yang lazim dalam sesebuah masyarakat. Perkataan
“budaya” berasal dari perkataan
Sanskrit, iaitu buddayah yang
merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi
yang bermaksud budi pekerti atau akal (Sri Lanang et al. 2016 : 116). Setiap
masyarakat yang berada di dunia ini mempunyai budaya mereka yang tersendiri.
Budaya mempunyai hubungan yang erat dengan sesebuah masyarakat (Sri Lanang et
al. 2016 : 117). Ini jelas menunjukkan bahawa setiap perlakuan yang berlaku
dalam sesebuah masyarakat itu dipengaruhi oleh budaya sekeliling masyarakat
tersebut. Budaya sesuatu
masyarakat juga dapat dilihat melalui nilai, ilmu pengetahuan dan adat yang
diamalkan oleh mereka.
4.1.1 Budaya Menghormati Tetamu
Kedatangan
tetamu merupakan satu perkara yang tidak boleh dihalang. Dalam Islam sendiri
terdapat beberapa cara yang perlu dipatuhi semasa melayan kedatangan tetamu
malah tetamu yang bertandang juga mempunyai beberapa peraturan yang perlu
dipatuhi agar tali persaudaraan tersebut tidak tergugat.
Dalam hikayat Abdullah terdapat
beberapa peristiwa yang menunjukkan penulis cuba menyelitkan unsur berkenaan
dalam tulisan beliau.
“Maka duduklah nakhoda itu di rumah ku
menanti-nanti sampai tengah hari lalu ia pulang makan. Kemudian ia balik
menanti-nanti sampai petang.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 33)
4.1.2
Budaya Menghormati Guru
Guru
merupakan insan yang mendidik kita daripada kita tidak mengenali sesuatu
perkara sehingga kita mahir akan ilmu tersebut. Guru juga merupakan insan yang
mempunyai kesabaran yang tinggi kerana begitu sabar mendidik sehingga murid
yang dididik berjaya dengan cemerlang.
Berdasarkan Hikayat Abdullah ini ilmu
merupakan antara perkara yang dituntut dan diutamakan dari hal dunia yang lain.
Selain itu murid juga perlu menghormati guru dan tidak dibenarkan untuk
membantah ajaran guru tersebut. Kita dapat melihat contoh kesetiaan terhadap
guru dalam petikan berikut:
“Maka disuruhnya anak itu menyembah kaki
gurunya itu. kemudian baharulah dibacakan oleh guru itu doa selamat.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 24)
Petikan di atas menunjukkan bahawa
konsep untuk menghormati guru bermula sejak murid itu mula untuk belajar dengan
guru tersebut. Guru diibaratkan seorang manusia yang sungguh mulia sehinggakan
guru dibenarkan untuk melakukan apa sahaja kepada anak murid itu dengan tujuan
untuk mendidik. Ini jelas menunjukkan bahawa guru merupakan insan yang perlu
dihormati dan keberkatan ilmu yang diberikan oleh guru kepada muridnya itu amat
diutamakan.
4.1.3 Budaya
Belajar Qur’an
Anak-anak telah dihantar ke tempat belajar supaya
dapat diajarkan ilmu-ilmu agama iaitu Qur’an dahulu sebelum belajar bahasa
Melayu. Contoh peristiwa adalah seperti yang berikut:
“Orang yang empunya anak-anak ini
menyuruh ajarkan Qur’an dahulu. Maka
kalau sudah ia dapat Qur’an kemudian boleh belajar bahasa Melayu. Begitulah adat sahaya semuanya. Dan tiada adat di negeri ini orang taruh
tempat belajar bahasa Melayu.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 69)
4.1.4 Budaya
dalam Keluarga
Adat
keluarga Abdullah ialah ayahnya merupakan ketua keluarga dalam keluarga dan
semua orang mesti menuruti katanya. Apabila ayahnya marah, ayahnya akan
memaafkan anaknya jika anaknya meminta maaf daripadanya dengan menyembah
kakinya. Contoh peristiwa dalam hikayat adalah seperti yang berikut:
“Maka demikianlah adat bapaku itu,
jikalau bagaimana sekalipun amarahnya, maka jikalau aku pergi meminta ampun
serta menyembah kakinya, hilanglah amarahnya”.
(Hikayat
Abdullah, 2007: 123-124)
4.2 Pandangan Hidup
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), pandangan bermaksud anggapan, tanggapan, dan
fikiran. Pandangan hidup merupakan sesuatu yang dimiliki bersama dengan
masyarakat. Menurut Syed Naquib al-attas (1972) dalam Sri Lanang et al. (2016 :
117), pandangan hidup mestilah bersumberkan islam yang merangkumi hal dunia dan
akhirat. Namun bukan semua pandangan hidup ini berlandaskan kepada Al-Quran dan
terdapat juga pandangan hidup yang agak menyimpang dari ajaran Islam yang
sebenar. Pandangan hidup adalah satu konsep yang dimiliki oleh masyarakat
bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan
dengan tuhan, manusia dan alam (Sri Lanang et al. 2016 : 117). Ini jelas
menunjukkan bahawa pandangan hidup masyarakat Melayu pastinya akan dipengaruhi
dengan persekitaran.
4.2.1 Pandangan terhadap
Kepercayaan Karut
Abdullah
telah menolak pandangan karut yang telah tersemat lama dalam pemikiran
masyarakat Melayu. Walaupun pandangan sebegini telah ditolak namun masih
terdapat juga masyarakat Melayu yang mempercayai sebahagian adat ini. Ini jelas
dapat dibuktikan dalam karya ini iaitu nama anak yang tidak sesuai menjadi
punca kepada anak tersebut sakit. Contoh teks seperti berikut:
“Syahadan ada pula orang yang percaya
sebab nama budak itu terlalu besar maka itulah konon mendatangkan penyakit atau
mati.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 15)
Berdasarkan petikan di atas jelas
menunjukkan bahawa penyakit yang dihidapi oleh seseorang kanak-kanak yang masih
kecil mempunyai perkaitan dengan nama yang telah diberikan. Ini jelas
bertentangan dengan pendapat Abdullah yang menolak pandangan yang sebegini.
4.2.2 Pandangan terhadap
Kepentingan Ilmu
Ilmu
merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan sekarang. Berdasarkan
hikayat Abdullah ini telah ditekankan betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan
seharian. Penulis telah menggambarkan bagaimana beliau telah dipaksa untuk
belajar oleh bapanya yang amat tegas berkaitan dengan hal pendidikan. Hal ini
demikian kerana hanya dengan ilmu sahaja kita mampu untuk mengubah nasib dan
kehidupan kita. Contoh petikan seperti berikut:
“Maka jikalau ia tiada tau mengaji atau
menyurat tinggal bodoh, aku bilangkan dia seperti sudah mati.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 34)
Petikan di atas menunjukkan bahawa
pentingnya ilmu dalam kehidupan kita. Hanya dengan ilmu kita mampu untuk mengubah masa depan kita untuk menjadi lebih
baik. Selain itu dengan ilmu yang dimiliki kita mampu untuk menjadi seorang
yang dihormati bukan disebabkan harta namun disebabkan ketokohan dan keilmuan yang ada pada diri kita.
4.2.3 Pandangan terhadap Penggubalan
Undang-undang
Seorang
pemimpin yang berwibawa haruslah menggubal undang-undang yang adik dan saksama.
Berdasarkan Hikayat Abdullah, penulis telah berpendapat bahawa ada pemimpin
yang berat sebelah dan menggubal undand-undang berlandaskan nafsu semata-mata.
Sekiranya, seseorang pesalah melakukan kesalahan, pemimpin perlulah
menghukumnya tetapi perlu menyiasat perkara sebenar dan hukuman yang dikenakan
juga haruslah berpatutan. Dalam hikayat ini, terdapat pemimpin yang menggubal
undang-undang berlandaskan nafsu. Contohnya dapat dilihat dalam petikan di
bawah:
“Syahadan lagi, hendalah tuan-tuan
menengar ada lagi suautu ajaib yang kudengar,kecualinya ada raja-raja Melayu
membuat suatu adat, ia itu bukannya adat orang Islam dan bukannya adat
bangsa-bangsa lain pun yang ada dalam dunia ini, melainkan adat iblis atau adat
hawa nafsu yang jahat, iaitu kalau raja-raja mengambil anak-anak perempuan
orang kebanyakan hendak dibuatnya gundik itu dengan kerasnya, semata-mata tiada
dengan redha perempuan itu…”
(Hikayat Abdullah, 2007: 301)
5.0 Analisis Kajian
Berkaitan Dengan Estetika dan Kepengarangan
Konsep
keindahan merupakan satu perkara yang telah menjadi kebiasaan dalam unsur
kesusasteraan. Keindahan atau dengan nama lainnya disebut sebagai estetik
merupakan satu elemen yang amat penting yang terdapat dalam seni penulisan
sastera. Keindahan yang dimaksudkan ini ialah berkait rapat dengan struktur
karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran,
imaginasi dan wawasan (Sri Lanang et al. 2016: 91).
Selain itu unsur utama yang
menjadikan sesebuah karya itu menarik pastinya bergantung pada gaya bahasa yang
digarap oleh pengarang. Keindahan dan kreativiti pengarang memanipulasi bahasa
yang ada akan memastikan sesebuah karya itu menjadi amat menarik. Kejayaan memanipulasi
bahasa di samping kejayaan menggabungkan unsur-unsur struktural dalam karya
akan membina keperibadian penulis dan menghasilkan karya yang tinggi nilai
estetikanya (Maniyamin Ibrahim 2006: 38).
Keindahan yang dikaitkan dengan unsur estetika ini
mempunyai satu sentuhan di mana jika pembaca benar menghayati karya yang
dihasilkan pembaca akan merasai perasaan gembira, sedih dan lain-lain lagi.
Pembaca seperti berada dalam dunia karya tersebut disebabkan kreativiti yang
ditunjukkan oleh pengarang dalam menggarap ayat menjadi suatu yang amat menarik
dan berkesan.
5.1 Karya
berbentuk realistik
Hikayat
Abdullah merupakan sebuah hikayat yang berbentuk realistik kerana menceritakan
dunia sebenar yang dirasai oleh penulis pada ketika itu. Sebagai contohnya, kesempitan
orang Melaka telah digambarkan sebagai ikan kering yang dijemur seperti:
“Demikianlah
sebab pencarian pun susah dan perahu dagang pun tiada masuk dan kapal-kapal
Inggeris pun tiada singgah, melainkan orang yang ada bermodal itu duduk makan
modal sahaja…Tambahan pula, beras pun sebentar-sebentar mahal. Maka terlalulah
kesempitan orang Melaka.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 155)
5.2 Aspek
Bahasa dan Tulisan
Berdasarkan
hikayat Abdullah ini teknik penulisan yang digunakan masih lagi terikat dengan
konsep dan teknik penulisan bahasa Melayu lama. Walaupun corak penceritaan
telah menunjukkan unsur yang berbeza dengan teknik penceritaan tradisional
namun gaya penulisan masih belum boleh berubah.
5.2.1 Penggunaan perkataan klasik
Terdapat
beberapa perkataan yang masih menggunakan kosa kata lama seperti sahaya, karena, dan masyghul.
Contoh perkataan dalam petikan adalah seperti yang berikut:
“Maka kata orang-orang Temenggung, “Sahaya sekalian tidak berani naik karena banyak puaknya, karena sehari-hari ada kedengaran di
atas itu seperti bunyi orang berates-ratus.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 147)
Selain
itu kata pangkal ayat juga masih tidak berubah seperti kata maka, kalakian, arakian, syahadan dan sebermula yang banyak ditemui dalam hikayat ini. Contoh perkataan
dalam petikan adalah seperti yang berikut:
“Sebermula,
Tuan Paderi Milne itu telah mendapatlah suatu tanah serta rumah.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 110)
“Kalakian,
maka adalah sedikit hari apabila
Tuan Milne sudah pindah ke rumah itu, maka datanglah Tuan/Doktor Morrison ke
Melaka”
(Hikayat
Abdullah, 2007:117)
“Syahadan,
maka dengan takdir Allah Ta’ala di atas hamba-Nya, maka raja Holanda yang di
Melaka yang bernama Timmermann Thijssen itu pun matilah.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 155)
5.2.2
Penggunaan perkataan pengaruh Inggeris
dan Arab
Selain itu disebabkan ketika hikayat ini dihasilkan
terdapat unsur dan pengaruh Inggeris yang telah mula menyerap masuk dalam
budaya tempatan terdapat beberapa perkataan Inggeris yang dapat dikesan seperti
electricity dan commission. Bukan sahaja bahasa Inggeris telah menyerap masuk dalam
seni penulisan ini malah bahasa Arab juga merupakan kosa kata bahasa yang telah
digunakan oleh pengarang semasa menghasilkan karya ini. Sebagai sebuah karya
yang berunsurkan Islam konsep peminjaman ini memang tidak dapat di elakkan dan
dimasukkan dalam karya yang dihasilkan. Menurut Ismail (1988) dalam Ismail
Hamid (2002:161) menyatakan bahawa tulisan hikayat yang berunsur Arab itu
menggunakan tanda baris di atas dan baris di bawah. Antara kosa kata Arab yang dijumpai ialah
seperti khatib dan syaaban.
5.2.3
Penggunaan Retorik
Penulis menggunakan
pelbagai retorik ketika menulis hikayat tersebut. Antara retorik yang digunakan
oleh penulis ialah retorik pemerian, retorik penceritaan, retorik pendedahan,
retorik pemujukan, dan sebagainya. Menurut Kamus Edisi Keempat (2010: 1326),
retorik didefinisikan sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam
penulisan atau pertuturan. Retorik juga dapat dikatakan sebagai seni
menggunakan atau memakai bahasa yang indah dan menarik untuk mempengaruhi
pemikiran pembaca atau pendengar.
i.
Retorik Pemerian
Dalam Hikayat Abdullah, kita dapat
melihat contoh penggunaan retorik pemerian dalam petikan berikut :
“Arakian maka
sedikit hari lagi kemudian daripada itu maka datanglah Tengku Sayid dari Muar
ke Melaka sebab bapanya Temenggung Muar itu sudah mati. Maka ia pinta Yamtuan
lantikkan. Maka ada beberapa hari lamanya Tengku Sayid itu duduk di Melaka.”
(Hikayat Abdullah,
2007: 305)
ii.
Retorik Penceritaan
Dalam Hikayat Abdullah juga kita dapat
melihat penggunaan retorik penceritaan oleh penulis. Contoh tersebut adalah
seperti berikut :
“Kalakian,
setelah senanglah aku di tolong Allah, maka pada suatu malam Jumaat isteriku
sakitlah hendak bersalin. Maka semalam-malaman itu tiadalah kami tidur. Hatta
sampailah kepada pagi hari Jumaat pukul setengah enam.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 324)
Peristiwa tersebut berlaku apabila
isteri Abdullah meninggal dunia ketika bersalin pada hari jumaat. Beliau
menceritakan kematian isterinya itu dengan lebih mendalam dalam hikayat
tersebut dan setelah beliau sembuh daripada sakit.
5.2.4 Penggunaan Gaya Bahasa
Cara penggunaan bahasa dalam sesuatu
karya dapat dikatakan sebagai gaya bahasa. Kepelbagaian gaya bahasa yang
digunakan dalan sesebuah karya akan menghasilkan kesan estetika dalam sesebuah
karya. Ini membuktikan bahawa pengarang cuba
menyerapkan pelbagai unsur gaya bahasa bagi membuktikan bahawa telah datang
pelbagai pengaruh pada ketika itu. Walaupun perkara ini tidak dinyatakan dengan
jelas namun pembaca akan dapat memahami dengan menggunakan kosa kata lain dan
persepsi pembaca akan menyatakan bahawa pada zaman tersebut telah datang
pengaruh lain yang dapat mempengaruhi konteks bahasa sesebuah kawasan itu.
i.
Anafora
Penulis telah
menggunakan gaya bahasa anafora untuk mengindahkan penulisannya. Anafora dapat
dikatakan sebagai pengulangan kata di depan ayat. Contoh penggunaan anafora
dapat dilihat pada petikan tersebut:
“Setelah tentunya sudah fikiranku yang
demikian, maka esoknya berkemas-kemaslah akan segala barang-barang itu. Setelah sudah, maka kepada suatu hari
kulelongkanlah segala barang-barang itu semuanya.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 325)
ii.
Simile
Gaya bahasa lain yang
digunakan ialah gaya bahasa simile. Simile biasanya digunakan untuk membuat
perbandingan terhadap dua benda atau perkara. Dalam penggunaan gaya bahasa
simile, perbandingan dilakukan dengan menggunakan perkataan seperti, laksana, umpama, dan
sebagainya. Contoh yang terdapat dalam Hikayat Abdullah ialah :
“Kemudian segala
kapal-kapal yang ada di laut itu pun semuanya menembaklah, bunyinya Seperti bertih digoreng, ada kira-kira
dua jam, tiga jam, tiada berputusan bunyi meriam”.
(Hikayat Abdullah, 2007: 82)
iii.
Hiperbola
Gaya
bahasa lain yang digunakan ialah gaya bahasa hiperbola. Hiperbola ialah sejenis
gaya bahasa yang menyatakan sesuatu perkara secara berlebih-lebihan atau secara
melampau. Contoh penggunaan gaya bahasa hiperbola dalam petikan adalah seperti
yang berikut:
“Maka pada masa itu, jangankan hati manusia,
jikalau batu sekalipun pecah-pecahlah oleh sebab menengarkan perkataannya itu
serta dengan lemah lembut suaranya, seperti bunyi-bunyian yang amat merdu, akan
menghilangkan percintaan dan syak yang ada tersembunyi dalam perbendaharaan
hati manusia, itu pun lenyaplah.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 159)
5.2.5 Penggunaan Pantun
Abdullah kagum dengan kelakuan isteri Tuan Raffles
yang pantas seperti lipas kudang dengan sibuk membuat kerja rumah dan
menulis sehingga Abdullah tidak pernah
melihat isteri Tuan Raffles tidur tengah hari dan terbaring dengan senang.
Dengan itu, Abdullah telah menjelaskan ciri-ciri isteri Tuan Raffles bukan
sahaja pandai dan berakal malah juga dapat mengerjakan pekerjaan yang
besar-besar sehingga memuji keperibadian isteri Tuan Raffles dalam bentuk
pantun. Pantun dalam hikayat adalah seperti yang berikut:
Puyu-puyu
konon namanya,
Di
dalam kolam konon tempatnya;
Cantik
manis barang lakunya,
Serta
dengan budi bahasanya.
(Hikayat Abdullah, 2007: 70)
5.2.6 Penggunaan
Peribahasa
Abdullah telah memikirkan rupa dan
sifat Lord Minto sebelum berjumpa dengan orang Barat ini. Beliau telah
menganggap Lord Minto seorang yang tinggi dan tampan seperti peribahasa Melayu
iaitu indah khabar dari rupa. Contoh penggunaan
peribahasa dalam hikayat adalah seperti yang berikut:
“Syahadan, apabila aku melihat rupanya
dan sifatnya Lord Minto itu, takjublah sangat hatiku, karena kusangkakan
bagaimanakah rupanya dan tampannya dan tinggi besarnya dan pakaiannya. Maka
teringatlah aku, seperti umpamaan Melayu, katanya : Indah khabar dari rupa.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 82)
Tuan Raffles telah melantik Tengku Panglima Besar
sebagai orang kepercayaannya untuk menghantar surat daripada Tuan Susunan
Bantaram kepadanya. Walaubagaimanapun, Tengku telah menghilangkan surat asal
dan mencipta surat yang palsu untuk dihantar kepada Tuan Raffles. Jadi,
Abdullah telah memberi nasihat dalam peribahasa yang berikut:
“Sesal
dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Seperti kata arif: Sebab nila setitik, rosak
susu sebelanga.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 95)
Selepas berkahwin, Abdullah telah
bercuti selama sebulan. Beliau hanya perlulah bekerja apabila dipanggil untuk menyemak
dokumen yang perlu disiapkan. Beliau menghargai jasa baik dan pertolongan
daripada Tuan Milne sehingga sanggup menjunjung batu di atas batu kepalanya
serta tidak membalas jasa baik Tuan Milne sehingga meninggal dunia.
“Sampai tujuh lapis anak buahnya menjadi
hutanglah di atasku, seperti perumpamaan Melayu : Hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati, adanya”.
(Hikayat
Abdullah, 2007: 127)
Abdullah
berasa sayang apabila Tuan Coleman telah memecahkan batu yang telah dipahat
tulisan kerana tidak mempunyai sesiapa dapat mengetahui erti perkataan yang
terpahat di atas batu. Abdullah berpendapat bahawa mestilah mempunyai orang
yang lebih pandai berupaya untuk mengeluarkan rahsia yang terpahat atas batu
yang didapati di hujung tanjung, Kampung Gelam. Perasaan sayang Abdullah
terhadap peristiwa ini dapat digambarkan dalam penggunaan peribahasa yang
berikut:
“Maka tiadalah ia berfikir barangkali
ada lagi orang yang terlebih pandai daripadanya
yang boleh ia mengeluarkan rahsia-rahsia dari dalamnya. Seperti kata
Melayu: Tak boleh dibaiki jangan
dipecahkan.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 171)
6.0 Analisis Kajian Berkaitan Dengan Nilai Ilmu
Menurut Kamus Dewan Edisi Keepat (2010:
1081), perkataan nilai merujuk darjat, kauliti, mutu, dan taraf. Menurut Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia,
akhirat, zahir, batin, dan lain-lain. Nilai merupakan
satu konsep yang sangat luas untuk dibicarakan. Dalam masyarakat Melayu nilai
ini amat berkait rapat dengan ajaran Islam itu sendiri. Setiap nilai yang
diamalkan pastinya akan membawa kepada kebaikan dan mempunyai nilai moral yang
tinggi. Jika seseorang itu tidak mahu menerima nilai yang telah ditetapkan
mereka boleh dianggap seperti tidak patuh pada nilai dan mempunyai sikap yang
negatif.
Jika dilihat dari sudut pandangan
ilmu pula nilai ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu nilai yang
boleh dipupuk secara formal dan tidak formal (Sri lanang Jaya et al. 2016:151).
Berdasarkan pernyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu amat
mementingkan nilai ini dalam kehidupan. Nilai formal boleh dididik dengan cara
menuntut ilmu di sekolah atau dengan kata lainnya kita menuntut melalui
kurikulum yang telah dibentuk. Nilai yang tidak formal pula boleh dipelajari di
rumah dan nilai ini boleh diterapkan oleh ibu bapa seperti memberi salam dan
membuka kasut sebelum masuk ke dalam rumah. Secara ringkasnya konsep ilmu alam
nyata lebih kepada kehidupan manusia dan alam ghaib lebih kepada konsep yang
melibatkan unsur kebatinan. Ini menunjukkan bahawa nilai dengan masyarakat
Melayu merupakan satu aspek yang tidak boleh dipisahkan.
6.1
Ilmu Jampi
Jika
dilihat dengan lebih terperinci kita akan mendapati terdapat beberapa peristiwa
yang melibatkan ilmu jampi yang dilakukan oleh seorang dukun. Jampi dikatakan
sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutamanya pada perubatan
(Sri lanang Jaya et al. 2016:157). Ilmu
jampi ini merupakan satu amalan yang dipercayai oleh orang terdahulu. Mereka
percaya dengan setiap kata yang diucapkan itu akan membawa kesan dan mempunyai
azimat tertentu. Hanya dengan membacakan jampi tertentu sesuatu perkara itu
boleh berubah dan mereka kurang meletakkan kepercayaan kepada Allah sebaliknya
lebih mempercayai perbuatan seperti ini. Antara contoh petikan ialah:
“…Tuan Penyapu itu pun sakit, seperti
laku orang gila, duduk dengan ketakutannya, menjerit-jerit, katanya dipukul
orang akan dia. Maka beberapa doktor mengubatinya, tiada juga sembuh, makin
bertambah terjerit-jerit. Maka apabila ia duduk seorang-seorang, ia terjun ke
sana ke mari, hendak lari sahaja. Maka pada suatu malam, orang tidur, ia terjun
dari atas loteng ke bawah, jatuh di tengah jalan.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 151)
Sekretaris Holanda yang bernama Bamgoor telah
meninggal dunia dengan membawa nama yang keji iaitu Tuan Penyapu. Masyarakat
Melaka pada zaman dahulu tidak berpuas hati dengan kelakuan orang Holanda yang
mengenakan cukai terhadap semua benda dan terus memaki dan menyumpahnya
sehingga sakit dan meninggal dunia dalam keadaan yang teruk. Contoh peristiwa
adalah seperti yang berikut:
6.2
Ilmu Firasat
Firasat
merupakan satu ilmu yang dimiliki oleh pahlawan atau mereka yang mempunyai
perkaitan dengan ilmu pendukunan. Melalui ilmu firasat seseorang dapat
mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain antaranya berdasarkan nama dan
faktor-faktor lain (Sri lanang Jaya et al. 2016:152). Ilmu firasat ini amat
penting untuk dimiliki oleh pahlawan terdahulu. Hal ini demikian kerana kita
memerlukan ilmu seperti ini untuk menilai tahap dan kekuatan lawan. Selain itu
jika kita melihat kepada Sejarah Hang Tuah ada bahagian yang menceritakan
bagaimana Hang Tuah mampu untuk meramalkan kekuatan musuh dan perkara yang
bakal terjadi pada masa akan datang. Ini jelas menunjukkan bahawa ilmu firasat
ini merupakan suatu yang istimewa dan hanya orang tertentu sahaja mempunyai
ilmu ini. Ilmu firasat dapat dilihat dalam petikan berikut:
“Maka sebab sangka itu menjadi banyaklah
orang bermimpi berjenis-jenis dan yang ada konon di tampar syaitan,
muntah-muntah darah lalu mati.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 45)
Berdasarkan petikan di atas jelas
menunjukkan bahawa ilmu firasat merupakan suatu ilmu yang penting yang dimiliki
bagi digunakan dalam situasi dan keadaan yang tertentu. Ilmu ini akan membawa
kebaikan kepada seluruh rakyat atau diri sendiri.
6.3 Perdukunan
Kepercayaan
masyarakat terdahulu terhadap ilmu yang berkaitan dengan bomoh dan dukun
merupakan satu amalan biasa. Kepercayaan animisme yang telah menjadi pegangan
hidup masyarakat terdahulu menyebabkan dukun atau bomoh ini menggunakan
kebolehan mereka sebagai perantara antara alam nyata dan ghaib menjadi
penghubung dengan dunia sebenar. Selain itu kuatnya semangat mempercayai kepada
roh menjadikan amalan ini tidak dapat dipinggirkan dalam masyarakat seharian.
Contoh petikan berkaitan dengan perdukunan ialah:
“maka asalnya orang Kedah yang tau
pelbagai ilmu gajah dan ubat-ubatan…”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 51)
Berdasarkan petikan di atas sudah
menjadi satu amalan atau kepercayaan masyarakat terdahulu sehingga jika
seseorang itu mempunyai sedikit kelebihan dia akan dikenali sebagai dukun.
Masyarakat terdahulu pula lebih mempercayai dan membiasakan diri mereka dengan
amalan perdukunan ini.
6.4 Ilmu
Menggubal Undang-undang
Abdullah
telah diamanahkan oleh Tuan Raffles untuk membuat undang-undang negeri
Singapura. Beliau telah membaiki huruf cap yang kurang itu serta capkan surat
Melayu dan surat Inggeris.
“Maka iaitu diperbuatnya atas beberapa
fasal hukum undang-undang, iaitu dengan bahasa Inggeris. Maka kemudian disalin
dalam bahasa Melayu. Maka kemudian disuruhnya cap kepada Tuan Paderi
Thomsen…Maka dalam dua hari aku duduk membuat huruf; itu pun sudahlah, lalu dicapkan; ada lima puluh
helai surat Melayu dan lima puluh helai surat Inggeris…Maka ditampalkanlah pada
segenap simpang. Maka adalah daripada masa surat itu sudah ditampalkan, maka
segala hukum dan adat dalam negeri Singapura pun tetaplah.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 198-199)
6.5 Ilmu
Perubatan
Ilmu
perubatan dalam Hikayat Abdullah dapat dilihat apabila Doktor Montgomerie
mengubati Tuan Farquhar yang ditikam oleh Sayid Yasin.
“Hatta dengan seketika itu juga doctor
pun datanglah. Maka kulihat dibawanya jarum perak panjang lalu diduganya lubang
luka Tuan Farquhar,Maka dikeluarkannya suatu pelas kecil, diciumkannya ke
hidungnya. Maka Tuan Farquhar pun sedarlah, lalu dibukakannya baju-bajunya itu
lalu dibasuhkannya darahnya sambil dibubuh ubat.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 177)
6.6 Ilmu
Syaitan
Abdullah
telah menceritakan sejarah hantu yang tidak berkepala iaitu cerita berkaitan
dengan penanggalan kepada Tuan Milne. Dengan itu, jelaslah bahawa masyarakat
pada zaman dahulu percaya kepada
kewujudan syaitan.
“Maka kataku, “Tuan, dengarlah hikayat
penanggalan itu. Maka adalah ia itu
perempuan asalnya. Maka ia itu memakai
ilmu syaitan yang dipercayainya serta diamalkannya akan dia pada siang malam
hingga sampailah kepada waktu perjanjiannya kepada gurunya itu yang boleh ia
terbang itu, maka tanggallah lehernya itu, bergantung dengan perutnya keluar
berjela-jela.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 111)
Selain
itu, masyarakat pada zaman dahulu yang tidak sanggup untuk menerima pengetahuan
baharu telah beranggapan bahawa orang Inggeris ialah jin. Contoh peristiwa yang
berlaku dalam hikayat ini ialah orang Inggeris dapat menjinakkan kuda
berkelakuan manusia untuk melompat pagar. Contoh petikan adalah seperti yang
berikut:
Maka orang
Melaka segala bangsa pun pada sehari-hari beratus-ratus orang datang melihat
temasya itu serta dengan hairannya terlalu sangat sebab melihatkan kepandaian
kuda itu, seperti kelakuan manusia, adanya.
Ia mengerti akan segala perkataan terompet itu. Dan lagi, melihatkan kelakuan orang besarnya
itu pada tiap-tiap hari keluar masuk dihamburkan kudanya melompat pagar itu,
maka seorang ini berkata, “Ini bukannya manusia.” Maka kata yang seorang lagi,
“Inggeris ini betul jin.
(Hikayat
Abdullah, 2007: 78)
6.7 Maklumat tentang Strata Sosial
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), strata membawa maksud yang sama bagi stratifikasi, iaitu pembahagian
masyarakat kepada beberapa lapisan atau kelas yang berlaian, susun lapis
masyarakat, pembahagian kepada atau pembentukan strata ( Seri Lanang et al.
2016). Strata sosial merujuk kepada tingkat
masyarakat. Dalam masyarakat Melayu terdapat dua golongan yang berbeza iaitu
golongan yang diperintah dan golongan yang memerintah. Golongan yang memerintah
dikenali sebagai pemimpin atau raja manakala golongan yang diperintah ialah
rakyat biasa yang merdeka.
6.7.1 Raja atau Sultan
Raja
atau sultan merupakan golongan yang paling tinggi dalam masyarakat Melayu. Raja atau sultan juga merupakan golongan
pemerintah yang sangat dihormati dan mempunyai kuasa mutlak terhadap sesuatu
kerajaan. Golongan ini merupakan golongan
pemerintah yang mempunyai rakyat yang perlu diperintah. Masyarakat perlu
menghormati golongan ini berdasarkan konsep daulat yang dimiliki oleh golongan
raja atau sultan ini. Petikan berikut menunjukkan bahawa raja menjadi ketua
bagi negeri dan rakyat akan menumpahkan taat setia kepada raja yang telah
dilantik. Berikut merupakan contoh petikan:
“Sebermula maka orang Melaka daripada
empat bangsa orang pun terlalu sangat kasih dan setuju berajakan Tuan Farquhar
itu…”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 50)
Golongan raja atau sultan tidak boleh
diderhakai oleh sesiapa kerana jika perlaku perkata tersebut maka, mereka akan
kena tulah. Contoh watak raja atau sultan dapat dilihat pada contoh berikut :
“Tuan, kalau
adat Melayu, orang itu dibunuh habis-habis dengan anak bininya dan kaum
keluarganya. Maka tiang rumahnya dibalikkan ke atas dan bumbung rumahnya ke
bawah dan tanah bekas rumahnya itu pun dibuangkan ke laut, adanya.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 180)
“Maka dari
sebab itu menjadi sumbanglah pada pemandangan segala orang besar-besarnya dan
segala kaum keluarga Sultan itu, sehingga menaruh cemburuanlah mereka itu masing-masing
akan Abdul Kadir itu.”
(Hikayat Abdullah, 2007: 291)
6.7.2 Peniaga dan Pedagang
Peniaga
dan pedagang merupakan satu unsur masyarakat yang dimuatkan dalam hikayat
Abdullah ini. Masyarakat pedagang yang banyak berdagang ke Melaka pada ketika
itu merupakan pedagang dari India. Kehadiran pedagang menyebabkan ekonomi
masyarakat setempat meningkat. Pedagang juga dikenali sebagai orang kaya pada
ketika itu. Contoh petikan seperti berikut:
“Hatta dengan beberapa lama ia di sana
pekerjaannya sambil berniaga sambil mengajar orang-orang hulu itu daripada hal
mengaji dan sembahyang dan sebagainya darihal perkara agama Islam.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 7)
Berdasarkan petikan di atas
menunjukkan bahawa peniaga dan pedagang merupakan mereka yang kerap mengembara
untuk menjual hasil barangan mereka selain menyebarkan agama yang dianuti.
Sejarah membuktikan bahawa agama tersebar melalui kegiatan perdagangan.
6.7.3 Orang kaya
Orang
kaya merupakan mereka yang tergolong dalam kumpulan masyarakat yang mempunyai
pengaruh yang tersendiri. Orang kaya merupakan mereka yang membantu para
peniaga untuk melariskan jualan mereka. Kedudukan orang kaya ini lebih tinggi
dari kedudukan peniaga. Contoh petikan seperti berikut:
“Maka banyaklah mereka saudagar keling
itu yang menjadi kaya sebab berniaga dalam istana.”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 27)
Berdasarkan petikan di atas
menunjukkan bahawa faktor ekonomi masyarakat terdahulu hanya dengan berniaga
dan taraf kehidupan mereka boleh berubah menjadi orang kaya dan mampu membantu
orang lain.
6.7.4
Masyarakat atau rakyat
jelata
Masyarakat atau rakyat
jelata ialah golongan yang diperintah. Golongan ini hendaklah mematuhi semua
arahan daripada sultan. Mereka juga tidak boleh melawan atau menderhaka kepada
sultan. Contoh dapat dilihat seperti berikut :
“Maka barang siapa yang disukai dan digemari
oleh segala isi Naning ini hendaklah dinyatakannya kepada kita, adanya.” Hatta
telah muafakatlah sekalian orang tua-tua dan muda,…”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 286)
7.0
Analisis
Kajian Berkaitan Dengan Falsafah
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat
(2010), falsafah dapat diertikan sebagai pengetahuan tentang pengertian yang
dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu lain.
Mekanisme falsafah secara mudahnya dapat dimaksudkan sebagai memikirkan sesuatu
dengan sangat mendalam. Dengan itu falsafah ialah membincangkan sesuautu secara
terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar dan real terhadap sesuatu
perkara. Falsafah merupakan pegangan yang
dimiliki oleh seseorang penulis. Setiap penulis mempunyai falsafah diri yang
berbeza ketika berkarya. Falsafah ini yang mendorong penghasilan karya dan
dengan adanya falsafah yang dipegang oleh penulis maka hasil karya tersebut
pastinya akan mempunyai teknik penceritaan yang tersendiri. Falsafah secara
mudahnya dapat di maksudkan dengan memikirkan sesuatu secara mendalam (Sri
Lanang at el. 2016:180). Di sini jelas menunjukkan bahawa bidang falsafah
merupakan satu perkara yang amat meluas dan mempunyai persepsi yang tersendiri. Antara
bidang falsafah yang diberi penekanan ialah etika, metafizika, sejarah, sosial,
ekonomi, kosmologi, politik, dan logik (Seri Lanang et al. 2016: 180).
7.1 Falsafah
dalam Konteks Kepentingan Ilmu
Sosial
dapat didefinisikan sebagai gambaran kehidupan realiti manusia yang kontekstual
(Sri Lanang at el. 2016:180). Hal ini bermaksud bahawa kehidupan sosial
merupakan satu cabang yang sangat meluas dan besar. Konteks sosial ini bukan sahaja boleh dilihat dari aspek
kehidupan malah boleh melihat dari aspek pendidikan dan tamadun sesebuah
masyarakat tersebut.
Hikayat Abdullah ini merupakan satu
hikayat yang amat mementingkan ilmu pengetahuan. Ilmu pengetahuan merupakan
satu motivasi yang mampu merubah corak kehidupan kita ini meskipun proses untuk
mendapatkan sesuatu ilmu itu agak panjang dan mencabar. Contoh petikan seperti
berikut:
“Maka pada tiap-tiap pagi aku pergi
mengaji ke tempat belajar dan malam-malam diajar oleh bapaku di rumah…”
(Hikayat
Abdullah, 2007: 19)
Berdasarkan petikan di atas jelas
menunjukkan bahawa bukan mudah untuk kita memperoleh ilmu dan memerlukan
pengorbanan yang tinggi. Selain itu masyarakat tersebut juga menunjukkan
kepentingan ilmu dengan mewujudkan sekolah dan tempat yang sesuai untuk
belajar.
7.2
Falsafah dalam Konteks Melayu
Masyarakat Melayu berpegang kepada
peraturan dan disiplin dalam kehidupan seharian. Hal ini menyebabkan penulis
memasukkan unsur peraturan dan disiplin dalam karya mereka. Konsep budi
misalnya menjadi penekanan dalam kehidupan mereka. Konsep budi tersebut pula
terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi
dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63).
Kita
dapat lihat penggunaan konsep budi bahasa dalam hikayat Abdullah apabila Abdul
Kadir dijemput dengan sopan untuk berjumpa Tengku Muda. Budi bahasa merujuk
kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas, dan penuh
pengajaran serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd
Rashid Idris, 2011 : 64). Contoh dapat dilihat dalam petikan berikut :
“Syahadan setelah sedikit hari dengan hal
yang demikian, maka pada suatu hari dijemputnya akan daku ke rumahnya. Maka
orangnya datang memanggil aka daku ke rumahnya, “ Encik, Tengku Muda menjemput
encik ke rumah.”Maka pergilah aku.”
(Hikayat Abdullah,
2007: 304)
Dalam
budi pekerti, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap perlakuan
yang dihasilkan oleh seseorang individu tersebut. Menurut Mohd Rashid Md. Idris
( 2011), budi pekerti adalah aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai
oleh masyarakat dari sudut baik, atau halus dan kasar. Contoh dapat dilihat
dalam petikan berikut:
“Maka pada masa itu ia tinggal di rumah Tuan
Paderi Thomsen. Maka bercakaplah aku dengan dia. Maka kulihat kelakuannya
terlalu lemah lembut lagi dengan baik bahasanya.”
(Hikayat Abdullah, 2007:
319)
7.3 Falsafah Bersumberkan
Islam
Menurut Seri Lanang
et.al (2016), falsafah bersumberkan Islam dapat dilihat daripada sikap
kebencian Abdullah terhadap kepercayaan karut dalam kalangan masyarakat Melayu.
Hal ini demikian kerana beliau berpendapat bahawa kepercayaan ini telah
membelakangkan kuasa Allah S.W.T. Beliau seorang yang rasional dan realistik
serta tidak percaya kepada bomoh, dukun dan pawang. Selain itu, beliau juga
telah mengkritik sikap masyarakat Melayu yang mempunyai pengetahuan yang cetek.
Sebagai contohnya, masyarakat Melayu mempercayai bumi ini berbentuk bulat dan
peristiwa gerhana bulan berpunca daripada bulan telah dimakan oleh Rauf(ular).
Berdasarkan
contoh-contoh yang telah dikupaskan dalam penulisan ilmiah ini, maka jelaslah
bahawa Hikayat Abdullah merupakan sebuah karya agung yang unggul. Hikayat ini
mengandungi 29 bab di mana dapat dijadikan sebagai mesej yang hendak
disampaikan tidak kira pengalaman dan pemerhatian Abdullah Munsyi, kritikan
terhadap masyarakat Melayu atau hubungan dengan orang Barat turut meninggalkan
kesan kepada pembaca. Selain daripada pemikiran, aspek nilai budaya dan
pandangan hidup, aspek nilai ilmu serta seni kepengarangan yang ada dalam
hikayat ini terus diharapkan dapat dijadikan sebagai iktibar kepada pembaca.
Keunikan dan keunggulan dalam hikayat ini perlulah dijadikan sebagai karya
agung yang dihargai dan diwarisi secara turun-temurun.
Kesimpulannya dalam karya yang telah dihasilkan ini
terdapat pelbagai jenis latar dan konteks yang boleh dikaji. Kesemua konteks
ini menunjukkan bahawa penulis mempunyai seni kreatif yang mendalam sehingga
mampu untuk menghasilkan sebuah karya yang menarik untuk dibaca dan dikaji.
Bibliografi
Abdullah Abdul
Kadir Munsyi (2007). Hikayat Abdullah. Kuala Lumpur: Yayasan
Karyawan.
Ismail Hamid (2002). Hikayat pada Nabi dan Tokoh-Tokoh Islam dalam Kesusasteraan Melayu
Tradisional.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jelani Harun
(2004). Ilmu Kesusasteraan Abad ke-21.
Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Kamus
Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maniyamin Haji Ibrahim (2006). Gaya Bahasa Kiasan Penggunaan dan Keberkesanan dalam
Sajak.
Shah Alam: Karisma Publication Sdn Bhd.
Mohd Rashid Md Idris (2011). Teori Falsafah Bahasa (Teori Rashid). Perak: Universiti
Pendidikan
Sultan Idris.
Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir
(2007). Komsas Pegangan Teras
Keterampilan. Kuala Lumpur:
Icon
Region Sdn Bhd.
Siti Hawa Hajah Salleh (2009). Kelopak Pemikiran Sastera Melayu. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan
Malaysia.
Sri
Lanang, Abd. Rahman Napiah dan Mohd Rashid Md. Idris. (2013). Penghayatan
Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan
Idris.
No comments:
Post a Comment